Belanjawan 2002- Belanjawan mesra rakyat

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Belanjawan 2002 yang memberi tumpuan mencetuskan pertumbuhan ekonomi domestik tanpa membebankan rakyat supaya mampu menangani cabaran kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengumumkan pelbagai insentif dan antara berita gembira ialah menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus tahun depan atau tambahan pendapatan 1.2 bulan gaji setahun.

Semasa membentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau juga mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kakitangan awam yang dibayar pada bulan ini dan bulan depan.

Sebagai galakan kepada kakitangan swasta pula, Dr. Mahathir yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menghapuskan sekatan bonus dua bulan.

Beliau menambah, untuk memastikan kuasa beli rakyat tidak terjejas, kadar cukai pendapatan individu diturunkan antara 1 hingga 2 mata iaitu dari maksimum 29 peratus kepada 28 peratus.

``Wang tidak akan menjana kekayaan jika ia tidak bergerak atau bertukar tangan,'' katanya.

Belanjawan tahun depan turut menyediakan peruntukan terbesar pernah diberikan iaitu RM5.34 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk luar bandar.

Ia antara lain melibatkan RM1.58 bilion untuk pertanian, RM378 juta bagi pembangunan tanah dan wilayah serta RM392 juta untuk pembangunan kampung dan masyarakat.

``Peruntukan ini termasuk pelaksanaan projek jalan luar bandar, jalan kampung serta menyediakan bekalan air dan elektrik,'' katanya.

Beliau menambah kerajaan akan mempertingkatkan tahap liputan bekalan air bersih kepada 99 peratus kawasan di Semenanjung, 75 peratus di Sabah dan Sarawak serta 100 peratus bekalan elektrik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Beliau yang membentangkan belanjawan negara bagi kali kedua juga mengumumkan bahawa harga runcit petrol dan diesel akan dinaikkan 10 sen mulai esok.

Ia bertujuan mengurangkan jumlah subsidi yang besar yang ditanggung oleh kerajaan iaitu RM4.4 bilion, yang lebih separuh daripadanya adalah subsidi petroleum.

Duti import rokok pula dinaikkan kepada RM216 daripada RM180 sekilogram manakala duti eksais bahan itu dinaikkan daripada RM40 kepada RM48 sekilogram.

``Kesedaran tentang bahaya merokok kepada kesihatan masih lagi rendah di kalangan rakyat dan kini tabiat merokok yang telah menular ke peringkat pelajar sekolah amat membimbangkan,'' kata Perdana Menteri.

Bagi belanjawan tahun depan Dr. Mahathir berkata, kerajaan memperuntukkan RM100.52 bilion iaitu tambahan 10.4 peratus berbanding tahun ini.

Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak RM73.4 bilion, akaun kerajaan keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka defisit sebanyak 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu RM18.6 bilion.

``Kini kita terpaksa berdepan dengan perkembangan luaran yang lebih sukar,'' jelasnya sambil menambah langkah bijak, proaktif dan pantas perlu diambil bagi membendung kejatuhan kadar pertumbuhan KDNK.

Pertumbuhan ekonomi dunia yang mula menurun pada awal tahun ini terutama ekoran kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun semakin serius, dan ``Peristiwa 11 September'' menyebabkan pasaran ekuiti utama jatuh mendadak.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Belanjawan 2002 menggariskan tiga strategi utama iaitu untuk memperkukuhkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan dalam negeri; mempelbagaikan sumber pertumbuhan melalui aktiviti perdagangan; serta menentukan agihan kekayaan diagih sama rata antara bandar dan luar bandar.

Sebanyak RM66.98 bilion daripada jumlah peruntukan RM100.52 bilion itu adalah untuk Perbelanjaan Mengurus manakala RM33.54 bilion lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Dr. Mahathir juga menyentuh mengenai jurang pendapatan yang agak luas antara yang terkaya dengan yang termiskin dan perlunya bagi kerajaan berusaha merapatkan jurang itu.

``Kita tidak nafikan bahawa yang kaya menyumbang kepada pembangunan negara melalui perbelanjaan dan pelaburan mereka.

``Secara langsung dan tidak langsung mereka mewujudkan peluang pekerjaan dan perbelanjaan mereka menyumbang kepada kelarisan perniagaan, keuntungan dan pendapatan pekerja dalam aneka jenis perniagaan dan perusahaan.

``Tetapi jika daya beli golongan yang berpendapatan rendah dapat ditingkatkan, mereka juga boleh membuat sumbangan yang sama kerana bilangan mereka amat ramai dan jumlah perbelanjaan mereka juga tentulah tinggi,'' jelasnya.

Belanjawan tahun depan turut mempunyai ciri-ciri mesra wanita, dengan memberi perhatian yang lebih kepada program yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup mereka terutama di luar bandar, membangunkan usaha wanita dan menghapuskan perbezaan antara wanita dan lelaki dalam semua bidang.

Di samping itu, kadar sagu hati tahunan bagi pegawai dan anggota sukarela dalam pasukan tentera, polis dan pertahanan awam dinaikkan dari RM400 kepada RM520 mulai 1 Oktober lalu.

Pendapatan bercukai tertinggi dinaikkan daripada melebihi RM150,000 kepada RM250,000, cukai pendapatan koperasi dan dan pendapatan bukan pemastautin dikurangkan 1 peratus dari 29 kepada 28 peratus.

``Pengurangan ini mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM873 juta tetapi kehilangan ini berada ditangan pengguna untuk dibelanjakan dan sekali gus menggerakkan semula ekonomi,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, untuk mengurangkan kos serta meningkatkan daya saing, duti import ke atas 55 jenis barangan yang telah lama dilindungi dikurangkan daripada 20 peratus hingga 105 peratus kepada 10 dan 50 peratus.

Antara barangan termasuklah minuman ringan, fabrik tenun, renda dan kain selimut.

Di samping itu, duti import ke atas 171 barang termasuk barangan perantaraan seperti multimedia, projektor, komponen perabot dan kertas fotografi dikurangkan daripada antara 5 dan 35 peratus kepada 0 hingga 25 peratus.

Beliau juga berkata, untuk menstabilkan pasaran saham, kerajaan bersetuju melaksanakan mekanisme pemutus litar (circuit breaker) di pasaran saham seperti yang diamalkan oleh negara maju.

Katanya, mekanisme ini akan berupaya menyekat aktiviti dagangan yang mengalami kejatuhan mendadak pada sesuatu hari urus niaga.

Dr. Mahathir menambah, untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan dalam industri pertanian, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan diberikan dalam tempoh 5 tahun.

Di samping itu, kerajaan menyediakan galakan cukai dalam bentuk elaun 100 peratus ke atas perbelanjaan modal bagi menggalak pengeluaran makanan secara besar-besaran untuk menggantikan import.

Galakan ini diperluaskan kepada projek pertanian, seperti sayur-sayuran, herba, ternakan ikan termasuk ikan hiasan, kerang dan tiram.

Untuk meningkatkan sektor perkhidmatan, sebanyak RM613 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan termasuk RM200 juta untuk aktiviti mempromosi.

Bagi menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan pula, Dr. Mahathir berkata, semua institusi pengajian tinggi swasta dan institusi bahasa dikecualikan duti import, duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan pembelajaran.